12 May 2019

Pelajar raih anugerah fesyen gabung konsep futuristik, kitar semulaMDIS in the News

GABUNGAN konsep futuristik berserta kitar semula dengan pakaian sopan telah menobatkan seorang pelajar jurusan fesyen, Cik Nur Ili Norazip, 22 tahun, sebagai pemenang Anugerah Akademik Terbaik di Pertunjukan Fesyen Graduan Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS) 2019.

Beliau merupakan antara 10 pereka fesyen muda yang memaparkan karya mereka di pertunjukan fesyen graduan tersebut yang bertemakan Singularity.

Pereka fesyen muda tersebut bukan sahaja telah mengambil inspirasi dari mercu tanda ikonik seperti Masjid Shah di Iran dan Red Fort di India tetapi rekaan mereka juga mengandungi mesej penting seperti kemampanan persekitaran dan kesopanan dalam fesyen.

Pertunjukan fesyen itu telah diadakan pada 3 Mei lalu di Studio Teater, Sekolah Seni Singapura (Sota).

Cik Nur Ili telah mempersembahkan satu koleksi busana rekaannya yang merangkumi 13 pakaian bernama 'Fractals'.

Menurut Cik Nur Ili, rekaannya merangkumi elemen geometrik yang diilhamkan daripada Masjid Shah dari Iran bagi memenuhi konsep futuristik.

"Saya menerapkan pelbagai elemen seni bina dengan ilham daripada corak siling Masjid Shah dalam rekaan pakaian sopan saya. Maka, misalnya, lengan baju saya mempunyai elemen geometrik.

"Dari segi konsep pakaian sopan pula, saya menerokai rekaan yang lebih maskulin. Biasanya, pakaian Muslimah feminin dan agak tradisional tetapi saya mahu koleksi busana 'Fractals' kelihatan lebih maskulin untuk menunjukkan bahawa pakaian menutup aurat juga boleh kelihatan kontemporari dan moden," kata Cik Ili, penuntut tahun ketiga ijazah sarjana muda dalam jurusan rekaan fesyen dari MDIS.

Beliau telah memilih Masjid Shah dari Iran sebagai inspirasinya kerana Iran adalah antara tempat di mana kaum Hawa mula berhijab. Beliau juga suka rekaan dan warna-warna hijab yang dipakai golongan wanita dari Iran.

Menerusi rekaannya, beliau berharap dapat menggalakkan lebih banyak perbicaraan tentang konsep pakaian sopan dalam dunia fesyen kontemporari.

"Saya bermatlamat mencabar stereotaip dan menunjukkan bahawa pakaian sopan boleh tampil moden tetapi tetap selesa bila dipakai. Saya juga berharap agar koleksi ini boleh mencetuskan lebih perbicaraan tentang kepelbagaian dan sifat inklusif dalam fesyen," kata Cik Ili, anak sulung dalam dua beradik ini.

Pada awal tahun ini, beliau juga pernah menyertai pertandingan fesyen yang mengetengahkan konsep kitar semula anjuran MDIS dengan kerjasama Persatuan
Diraja Komanwel Singapura.

Bagi menerapkan konsep kitar semula dalam rekaannya, Cik Ili telah antaranya menggunakan kain meja makan kitar semula, bahan plastik dan PVC serta kain.

"Saya mahu menerapkan konsep kemampanan persekitaran dalam rekaan busana saya sebab dalam bidang fesyen ada banyak bahan buangan. Jadi, saya mahu menunjukkan bahawa kita perlu lebih prihatin dalam menggunakan bahan semasa menghasilkan busana," kata Cik Ili.

Namun, dalam menghasilkan koleksi busana yang dijahit dengan tangan, Cik Ili pada awalnya mendapati sukar menghasilkan prototaip sempurna dan pada masa yang sama, memastikan jahitan pakaiannya kemas dan cantik.

Katanya lagi, untuk menghasilkan pakaian sopan, beliau juga perlu memastikan agar pakaiannya tidak terlalu ketat, kainnya tidak singkat dan fabrik tidak lut cahaya.

Bagaimanapun, segala cabaran yang Cik Ili hadapi untuk menghasilkan koleksi busana rekaannya dirasakan berbaloi dengan kemenangan Anugerah Akademik
Terbaik.

Beliau yang meminati gaya fesyen penyanyi Yuna dan pereka fesyen kelahiran United Kingdom, Hana Tajima, bercita-cita akan menjadi seorang pereka fesyen pakaian sopan terkenal pada suatu hari bagi mewakili Muslimah di industri fesyen.

Source: Straits Times, 17 May 2019 © Singapore Press Holdings Limited. Reproduced with permission. Click here to read the article.